1. Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.
2. Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku;lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!
3. Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu;lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!
4. Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku;orang kejam berkumpul mengadang aku.Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,
5. bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN,mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.
6. Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku;lihatlah sendiri, ya Allah Israel!Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa;jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.
7. Pada waktu senja mereka pulang,melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
8. Dengarlah hinaan dan ancaman mereka.Kata-kata mereka tajam seperti pedang;mereka menyangka tiada orang yang mendengar.
9. Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka;Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.
10. Aku yakin akan kekuatan-Mu;ya Allah, Engkaulah pernaunganku.
11. Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku;Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.
12. Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa.Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka,ya Tuhan, pelindung kami.
13. Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka,biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka.Kerana mereka menyumpah dan berdusta,
14. binasakanlah mereka semasa Engkau murka;binasakanlah mereka semuanya.Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel,dan Dia memerintah semua orang di dunia.
15. Pada waktu senja musuh-musuhku pulang,melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
16. Mereka berkeliaran mencari makanan,dan menggeram jika tidak kenyang.
17. Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu;setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu.Engkau telah menjadi pernaungan bagiku,perlindungan pada masa kesusahanku.
18. Aku akan memuji Engkau, pembelaku;Allah ialah pernaunganku,Allah yang mengasihi aku.