Bab

  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
  5. 5
  6. 6
  7. 7
  8. 8
  9. 9
  10. 10
  11. 11
  12. 12
  13. 13
  14. 14
  15. 15
  16. 16
  17. 17
  18. 18
  19. 19
  20. 20
  21. 21
  22. 22
  23. 23
  24. 24
  25. 25
  26. 26
  27. 27
  28. 28
  29. 29
  30. 30
  31. 31
  32. 32
  33. 33
  34. 34
  35. 35
  36. 36
  37. 37
  38. 38
  39. 39
  40. 40
  41. 41
  42. 42
  43. 43
  44. 44
  45. 45
  46. 46
  47. 47
  48. 48
  49. 49
  50. 50
  51. 51

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Sirakh 6 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

1. Jangan jadi musuh apabila engkau seharusnya menjadi sahabat. Nama buruk membawa malu, sama halnya dengan orang berdosa yang suka berdusta.

2-3. Jangan biarkan dirimu dikuasai oleh nafsu, supaya nafsu itu tidak menghabiskan kekuatanmu dan masa mudamu serta menghancurkan keturunanmu, lalu meninggalkan engkau seperti pokok kering tanpa daun dan buah.

4. Begitulah caranya nafsu yang tidak dikuasai membinasakan engkau dan menjadikan engkau bahan ejekan musuh.

Persahabatan

5. Orang yang bercakap dengan sopan dan ramah mendapat sahabat yang banyak.

6. Hiduplah damai dengan banyak orang, tetapi hanya seorang sahaja di kalangan seribu hendaknya dijadikan penasihatmu.

7. Jika engkau mahu bersahabat, jangan segera percaya kepada orang; ujilah mereka dahulu sama ada mereka setia.

8. Ada orang yang mahu bersahabat hanya kalau menguntungkan, tetapi pada masa engkau susah, mereka tidak berdiri teguh di sisimu.

9. Ada kawan yang menjadi lawan kerana pertengkaran, lalu dia mempermalukan engkau dengan menceritakannya kepada semua orang.

10. Ada juga kawan yang ikut makan bersama-sama engkau, tetapi meninggalkan engkau pada masa engkau susah.

11. Pada waktu engkau makmur, dia berlaku seperti engkau sendiri, dan memberi perintah kepada pelayan-pelayanmu.

12. Tetapi apabila engkau mengalami kemorosotan, dia berbalik melawan engkau dan menghindari engkau.

13. Jauhilah musuh-musuhmu, tetapi waspadalah terhadap kawan-kawanmu.

14. Sahabat yang setia bagaikan tempat perlindungan yang aman. Sesiapa yang mendapatkannya, menemukan suatu harta.

15. Sahabat yang setia tidak ternilai harganya, dan tidak ada yang dapat dibandingkan dengan dia.

16. Dia seperti ubat bagimu. Orang yang takut kepada Tuhan akan menemukan dia.

17. Orang yang takut kepada Tuhan dapat menjalin persahabatan sejati kerana mereka memperlakukan sahabat mereka seperti diri sendiri.

Mencari Kebijaksanaan

18. Anakku, terimalah pelajaran semasa engkau muda, maka engkau akan memperoleh kebijaksanaan sehingga masa tuamu.

19. Untuk memperoleh kebijaksanaan engkau harus bekerja keras seperti seorang petani yang membajak dan menanami ladangnya, barulah engkau dapat mengharapkan hasil yang baik. Memang sekarang engkau harus membanting tulang untuk sebentar, tetapi hasilnya dapat engkau nikmati dengan segera.

20. Orang yang bodoh dan tidak terdidik menganggap tuntutan kebijaksanaan terlalu sukar, dan mereka tidak bertekun untuk memperolehnya.

21. Tuntutan itu dirasakannya sebagai beban yang terlalu berat, dan dia cepat-cepat membuangnya.

22. Hal itu demikian kerana kebijaksanaan sesuai dengan namanya, dan tidak banyak orang dapat mencapainya.

23. Anakku, dengarlah dan terimalah nasihat dan pendapatku.

24. Ikatlah kakimu dengan rantai kebijaksanaan dan pasanglah koknya pada lehermu.

25. Pikullah kebijaksanaan dan jangan marah kerana ikatan-ikatannya.

26. Carilah kebijaksanaan dengan segenap hatimu dan tempuhlah jalan-jalannya dengan sekuat tenagamu.

27. Carilah dan selidikilah kebijaksanaan, maka kebijaksanaan akan membuka diri kepadamu. Peganglah kebijaksanaan dan jangan biarkan kebijaksanaan pergi.

28. Maka akhirnya engkau akan menemukan ketenteraman padanya dan kebijaksanaan akan menjadi kesukaanmu.

29. Belenggunya akan menjadi perlindungan yang kuat bagimu dan pasungannya seperti tanda kehormatan.

30. Koknya seperti perhiasan emas dan pengikat-pengikatnya seperti pita yang indah.

31. Kebijaksanaan kaupakai seperti baju kebesaran dan mahkota kegembiraan.

32. Anakku, engkau dapat belajar jika ada kemahuan. Engkau dapat menjadi arif kalau bertekun.

33. Engkau dapat belajar dan menjadi bijaksana kalau engkau suka mendengar dan memperhati.

34. Pergilah temui orang tua-tua; carilah seorang yang bijaksana antara mereka dan bergurulah kepadanya.

35. Hendaklah engkau suka mendengarkan setiap ajaran Allah, dan jangan biarkan kata-kata bijaksana terlepas daripada perhatianmu.

36. Jika engkau menemukan seorang yang arif, bangunlah pagi-pagi untuk mengunjungi dia. Datanglah sering-sering kepadanya.

37. Gunakanlah semua waktumu untuk mempelajari dan merenungkan perintah Tuhan, maka engkau akan diberi pengertian dan kebijaksanaan yang kauinginkan.