Bab

  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
  5. 5
  6. 6
  7. 7
  8. 8
  9. 9
  10. 10
  11. 11
  12. 12
  13. 13
  14. 14
  15. 15
  16. 16
  17. 17
  18. 18
  19. 19
  20. 20
  21. 21
  22. 22
  23. 23
  24. 24
  25. 25
  26. 26
  27. 27
  28. 28
  29. 29
  30. 30
  31. 31
  32. 32
  33. 33
  34. 34
  35. 35
  36. 36
  37. 37
  38. 38
  39. 39
  40. 40
  41. 41
  42. 42
  43. 43
  44. 44
  45. 45
  46. 46
  47. 47
  48. 48
  49. 49
  50. 50
  51. 51

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Sirakh 40 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

Kesengsaraan Hidup Manusia

1. Setiap orang harus bekerja keras dan menanggung beban berat sejak dia keluar dari rahim ibunya sehingga kembali ke pangkuan ibu pertiwi.

2-5. Kita semua, mulai daripada raja yang berpakaian kerajaan dan bermahkota serta duduk di takhta yang mulia, sehingga orang yang paling hina yang berpakaian kasar dan duduk di atas debu, takut dan cemas memikirkan hari kematian kita. Seluruh kehidupan kita terus mengalami amarah, dengki, kesusahan, kecemasan, takut mati, dendam, dan perselisihan. Bahkan waktu tidur fikiran kita diganggu mimpi buruk.

6. Sedikit masa sahaja kita rehat, atau tidak sama sekali. Waktu tidur kita seolah-olah berjaga kerana diganggu angan-angan kita. Kita bermimpi bahawa kita lari daripada musuh,

7. dan tepat pada saat kita nyaris tertangkap, kita terjaga dan hairan kerana ternyata tidak ada apa-apa yang menakutkan.

8. Inilah yang harus dihadapi setiap makhluk hidup, baik manusia mahupun binatang, dan orang yang berdosa mengalaminya tujuh kali lebih berat:

9. kematian, keganasan, perselisihan, pembunuhan, bencana, kelaparan, kebinasaan, dan wabak.

10. Semua itu diciptakan untuk orang jahat. Merekalah yang menyebabkan datangnya air bah.

11. Segala sesuatu yang berasal dari bumi kembali ke bumi, seperti semua air mengalir ke laut.

Akibat Kejahatan

12. Sesuatu yang diperoleh dengan rasuah atau dengan cara yang tidak adil tidak akan bertahan, tetapi hasil kesetiaan akan tetap selama-lamanya.

13. Harta yang didapati dengan tidak jujur akan mengering seperti batang air, dan lewat seperti petir yang menggelegar dalam hujan.

14. Orang yang bermurah hati akan bergembira, tetapi orang yang melanggar hukum akan binasa sama sekali.

15. Keturunan anak-anak orang jahat tidak banyak; mereka seperti tanaman yang buruk akarnya kerana tumbuh di tanah yang keras,

16. atau gelagah yang tumbuh di pinggir sungai dan dicabut terlebih dahulu daripada tanaman lainnya.

17. Kebaikan hati seperti taman yang penuh berkat, dan kemurahan hati bertahan untuk selama-lamanya.

Hal-Hal yang Paling Baik bagi Manusia

18. Hidup ini menyenangkan bagi orang yang mempunyai pekerjaan dan tidak bergantung kepada orang lain. Tetapi orang yang menemukan harta lebih beruntung daripada mereka.

19. Orang mengabadikan nama melalui keturunan mereka atau dengan mendirikan kota, tetapi lebih baik mempunyai isteri yang tidak tercela.

20. Wain dan muzik meriangkan hati, tetapi lebih baik cinta kepada kebijaksanaan.

21. Seruling dan kecapi membuat lagu yang menyeronokkan, tetapi lebih baik suara yang merdu.

22. Mata suka melihat keindahan dan kecantikan, tetapi lebih suka memandang tunas gandum di ladang.

23. Sahabat dan kawan hanya bertemu pada saat tertentu; lebih baik ikatan suami isteri.

24. Saudara dan penolong berguna pada waktu kesusahan, tetapi lebih bermanfaat kebiasaan memberi derma.

25. Emas dan perak menjamin kehidupan, tetapi lebih berharga nasihat yang baik.

26. Kekuatan dan kekayaan menggembirakan hati, tetapi lebih baik takut kepada Tuhan. Orang yang takut kepada Tuhan tidak kekurangan apa-apa dan tidak perlu mencari bantuan lain.

27. Takut kepada Tuhan seperti taman yang penuh berkat dan memberi perlindungan yang lebih baik daripada kemuliaan apa pun.

Mengemis

28. Anakku, jangan hidup sebagai pengemis; lebih baik mati daripada meminta-minta.

29. Kalau makananmu ditanggung orang lain, engkau belum hidup dengan sepatutnya. Engkau mencemarkan dirimu sendiri dengan menerima makanan daripada orang lain. Orang yang berakal dan terdidik tidak mahu berbuat begitu.

30. Bagi orang yang tidak tahu malu, mengemis manis di mulut, tetapi membara di dalam hati.