Bab

  1. 1
  2. 2
  3. 3
  4. 4
  5. 5
  6. 6
  7. 7
  8. 8
  9. 9
  10. 10
  11. 11
  12. 12
  13. 13
  14. 14
  15. 15

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Makabe 6 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

Orang Yahudi Dianiaya kerana Kepercayaan Mereka

1. Tidak lama kemudian raja mengutus seorang Atena yang sudah tua untuk memaksa orang Yahudi meninggalkan agama dan adat istiadat nenek moyang mereka.

2. Dia juga diperintahkan untuk mencemarkan Rumah Tuhan di Yerusalem dengan mengkhususkannya kepada Dewa Zeus Olimpios. Selain itu rumah ibadat di Gunung Gerizim harus dikhususkan kepada Zeus Ksenios, dewa orang asing, sesuai dengan permintaan penduduk yang tinggal di situ.

3. Kejahatan itu menjadi beban yang berat dan susah bagi rakyat.

4. Rumah Tuhan dipenuhi orang asing yang berpesta pora dengan minum-minum dan berkelakuan lucah. Mereka bermain dengan pelacur-pelacur dan tidur dengan perempuan-perempuan di halaman suci. Benda-benda terlarang dibawa masuk ke dalam Rumah Tuhan.

5. Mazbah ditimbuni dengan korban-korban haram yang dilarang oleh Taurat kita.

6. Orang tidak boleh lagi merayakan hari Sabat dan hari-hari perayaan yang lain menurut kebiasaan nenek moyang, bahkan orang tidak boleh mengaku diri mereka orang Yahudi.

7. Setiap bulan pada hari kelahiran raja, orang Yahudi dipaksa dengan kekejaman untuk memakan usus binatang korban; dan pada waktu perayaan untuk menghormati Dionisius, dewa anggur, mereka dipaksa ikut berarak dengan memakai karangan daun di kepala.

8. Dengan hasutan orang Ptolemais, dikeluarkan peraturan bagi kota-kota Yunani di sekitarnya bahawa orang Yahudi yang ada di situ diharuskan makan perjamuan korban.

9. Setiap orang Yahudi yang tidak mahu beralih kepada cara hidup orang Yunani harus dibunuh. Orang dapat melihat bahaya yang mengancam.

10. Misalnya, dua orang wanita diseret ke pengadilan kerana telah menyunat anak mereka. Mereka diarak berkeliling kota dengan anak-anaknya digantungkan pada buah dada mereka. Kemudian mereka dilemparkan dari atas tembok kota.

11. Pada suatu ketika yang lain, Filipus diberitahu bahawa beberapa orang Yahudi dengan sembunyi-sembunyi berkumpul di gua-gua tidak jauh dari situ untuk merayakan hari Sabat. Filipus menyerang dan membakar mereka hidup-hidup. Mereka tidak mahu membela diri kerana menghormati hari Sabat.

Tuhan Menghukum dan Berbelas Kasihan

12. Pembaca yang budiman, janganlah berkecil hati kerana malapetaka itu. Ingatlah bahawa hukuman-hukuman itu tidak dimaksudkan Tuhan untuk membinasakan bangsa kita, melainkan untuk mendidik mereka.

13. Sesungguhnya, apabila orang yang berdosa segera dihukum dengan tidak menunggu lama, itulah suatu tanda sifat kebaikan hati.

14. Yang Maha Kuasa tidak memperlakukan kita seperti Dia memperlakukan bangsa-bangsa lain: Mereka dibiarkan-Nya tenggelam dalam dosa sebelum dihukum,

15. sedangkan kita dihukum-Nya sebelum kita berdosa terlalu banyak.

16. Jadi Tuhan selalu bermurah hati kepada kita, umat-Nya. Dia menyeksa kita dengan malapetaka, tetapi tidak pernah meninggalkan kita.

17. Saya telah membuat pemerhatian-pemerhatian ini sekadar peringatan. Sekarang kita melanjutkan kisah ini.

Eleazar Dibunuh kerana Kepercayaannya

18. Ada seorang ahli hukum terkemuka yang bernama Eleazar. Dia sudah lanjut usia dan masih sangat tampan rupanya. Dia dipaksa membuka mulutnya untuk makan daging babi.

19-20. Tetapi dia memilih untuk mati secara terhormat daripada hidup bercela. Daging itu diludahkannya, dan dengan sukarela dia menuju ke tempat penyeksaan. Dengan teladannya itu dia menunjukkan bahawa kita harus berani menolak makanan yang najis, sekalipun dengan mengorbankan nyawa sendiri.

21. Orang yang mengurus perjamuan korban itu sudah lama kenal baik dengan Eleazar. Oleh sebab itu mereka secara diam-diam menyuruh dia agar membawa daging yang disiapkannya sendiri dan yang halal baginya, lalu berbuat seolah-olah dia memakan daging korban, sebagaimana yang diperintahkan raja.

22. Dengan demikian nyawanya akan terselamat, dan dia akan diperlakukan dengan baik demi persahabatan yang lama.

23. Tetapi Eleazar mengambil keputusan yang mulia sesuai dengan usianya yang lanjut dan terhormat. Seumur hidupnya dia dengan sempurnanya mentaati hukum Allah. Sesuai dengan itu dia berkata, “Bunuhlah saya sekarang juga.

24. Penipuan seperti itu tak patut bagi orang setua saya. Nanti banyak orang muda akan menyangka bahawa sesudah berumur sembilan puluh tahun, saya beralih kepada cara hidup orang asing.

25. Seandainya saya berpura-pura hanya untuk memperpanjang hidup ini sedikit, maka saya mencemarkan usia saya dan menyesatkan banyak orang muda.

26. Sekalipun sekarang saya terlepas daripada hukuman manusia, tetapi baik hidup atau mati, saya tak akan terlepas daripada tangan Yang Maha Kuasa.

27. Kalau sekarang saya mati dengan berani, saya menunjukkan bahawa saya layak menjadi setua ini.

28. Dengan demikian saya memberi teladan yang baik kepada orang muda supaya mati dengan rela dan gembira bagi hukum-hukum kita yang suci dan mulia.”Sesudah berkata begitu, dia terus menuju ke tempat penyeksaan,

29. dan orang yang beberapa saat sebelum itu bersikap baik terhadapnya, sekarang memusuhi dia kerana menurut mereka, Eleazar tadi bercakap seperti orang gila.

30. Sesudah didera hingga hampir mati, Eleazar mengaduh dengan berkata, “Tuhan yang memiliki semua pengetahuan yang suci tahu bahawa saya dapat terlepas daripada penderitaan berat ini dan daripada maut, tetapi Dia tahu juga bahawa saya menanggungnya dengan gembira kerana saya takut kepada-Nya.”

31. Lalu Eleazar mati. Tetapi kematiannya yang gagah berani diingat sebagai teladan yang mulia, bukan hanya bagi orang muda, tetapi juga bagi seluruh bangsa.