Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 6:52-63 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

52. Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka.

53. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup.

54. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat.

55. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar.

56. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia.

57. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku.

58. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.”

59. Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum.

60. Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?”

61. Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi?

62. Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya?

63. Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup.

Baca bab lengkap Yohanes 6