Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 6:41-58 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

41. Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, “Aku roti yang turun dari syurga.”

42. Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?”

43. Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri.

44. Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat.

45. Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, ‘Semua orang akan diajar oleh Allah.’ Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku.

46. Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa.

47. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal.

48. Akulah roti yang memberikan hidup.

49. Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga.

50. Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati.

51. Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.”

52. Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka.

53. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup.

54. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat.

55. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar.

56. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia.

57. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku.

58. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.”

Baca bab lengkap Yohanes 6