Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 6:28-39 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

28. Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?”

29. Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.”

30. Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan?

31. Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ”

32. Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga.

33. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.”

34. “Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.”

35. “Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya.

36. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku.

37. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku,

38. kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku.

39. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat.

Baca bab lengkap Yohanes 6