Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 4:29-41 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

29. Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?”

30. Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus.

31. Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!”

32. Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.”

33. Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?”

34. Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku.

35. Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai!

36. Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama.

37. Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’

38. Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.”

39. Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.”

40. Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari.

41. Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya.

Baca bab lengkap Yohanes 4