Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 15:9-24 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi.

10. Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.

11. Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna.

12. Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu.

13. Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka.

14. Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan.

15. Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku.

16. Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku.

17. Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.”

18. “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu.

19. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.

20. Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, ‘Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga.

21. Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku.

22. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak datang dan mengatakan semua itu kepada mereka. Tetapi sekarang mereka tidak dapat berkata, ‘Kami tidak tahu bahawa perbuatan kami jahat.’

23. Sesiapa yang membenci Aku, membenci Bapa-Ku juga.

24. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang Aku lakukan, lalu mereka membenci Aku mahupun Bapa-Ku.

Baca bab lengkap Yohanes 15