Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 15:6-19 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan Aku, akan dikerat seperti carang lalu menjadi kering. Carang-carang seperti itu akan dikumpulkan lalu dibuang ke dalam api dan dibakar.

7. Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi.

8. Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku.

9. Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi.

10. Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya.

11. Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna.

12. Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu.

13. Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka.

14. Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan.

15. Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku.

16. Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku.

17. Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.”

18. “Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu.

19. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.

Baca bab lengkap Yohanes 15