Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 13:27-38 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

27. Sebaik sahaja Yudas menerima roti itu, Iblis masuk ke dalam hatinya. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Segeralah lakukan apa yang mahu kamu lakukan!”

28. Tidak seorang pun yang makan di situ memahami kata-kata Yesus kepada Yudas.

29. Kerana Yudas memegang beg wang mereka, beberapa orang pengikut menyangka Yesus menyuruh dia membeli bekalan yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin.

30. Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam.

31. Setelah Yudas meninggalkan tempat itu, Yesus berkata, “Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia.

32. Jika Allah dimuliakan melalui Anak Manusia, Dia pun dimuliakan oleh Allah sendiri, dan Allah akan segera memuliakan Dia.

33. Anak-anak-Ku, Aku tidak akan tinggal lama lagi dengan kamu. Kamu akan mencari Aku, tetapi seperti yang sudah Aku katakan kepada para penguasa Yahudi, Aku katakan juga kepada kamu, ‘Kamu tidak dapat pergi ke tempat Aku pergi.’

34. Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi.

35. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.”

36. Simon Petrus bertanya kepada Yesus, “Ke manakah Tuhan mahu pergi?”Yesus menjawab, “Ke tempat Aku pergi, engkau tidak dapat ikut sekarang, tetapi engkau akan mengikut Aku kelak.”

37. Petrus bertanya lagi, “Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku sanggup mati untuk Tuhan!”

38. Yesus menjawab, “Betulkah engkau sanggup mati untuk-Ku? Ketahuilah, sebelum ayam berkokok, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku!”

Baca bab lengkap Yohanes 13