Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 12:21-22-36 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

21-22. Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, “Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.”(Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus.

23. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan.

24. Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum.

25. Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal.

26. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.”

27. “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini.

28. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!”Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.”

29. Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!”

30. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu.

31. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan.

32. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.”

33. Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati.

34. Orang ramai berkata kepada-Nya, “Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?”

35. Yesus menjawab, “Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi.

36. Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu.”Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka.

Baca bab lengkap Yohanes 12