Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 1:29-41 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

29. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia!

30. Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.

31. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.”

32-33. Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya.

34. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”

35. Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya.

36. Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah!”

37. Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus.

38. Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, “Apa yang kamu cari?”Mereka menjawab, “Rabbi, di manakah rabbi tinggal?” (Dalam bahasa Ibrani ‘rabbi’ bermakna ‘guru.’)

39. “Marilah lihat,” kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu.

40. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus.

41. Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” (’Mesias’ sama dengan ‘Kristus’).

Baca bab lengkap Yohanes 1