Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 24:9-21 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

9. Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain.

10. Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul.

11. Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu.

12. Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku.

13. Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem.

14. Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku.

15. Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka.

16. Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia.

17. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?”Mereka berhenti dengan muka yang sedih.

18. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?”

19. “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus.“Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya.

20. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia!

21. Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu.

Baca bab lengkap Lukas 24