Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Lukas 24:30-46 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

30. Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka.

31. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka.

32. Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?”

33. Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain.

34. Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!”

35. Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti.

36. Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Sejahteralah kamu!”

37. Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu.

38. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu?

39. Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.”

40. Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka.

41. Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?”

42. Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya.

43. Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka.

44. Kemudian Dia berkata kepada mereka, “Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur mesti berlaku.”

45. Kemudian Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab.

46. Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga.

Baca bab lengkap Lukas 24