Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Rasul-Rasul 1:6-15 Alkitab Berita Baik (+Deuterokanonika) (BMDC)

6. Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?”

7. Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya.

8. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.”

9. Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka.

10. Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka.

11. “Hai orang Galilea,” kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.”

12. Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar.

13. Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus.

14. Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus.

15. Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata.

Baca bab lengkap Kisah Rasul-Rasul 1